fb fb fb fb fb

Unit perangkap kamera, tangani konflik harimau di Terengganu

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan memasang unit perangkap kamera dan unit perangkap harimau di lokasi yang menjadi tumpuan haiwan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memklumkan, khidmat nasihat telah diberikan kepada penduduk kampung dan pekerja ladang terlibat supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta tidak bertindak sendiri dalam menangani konflik harimau.

"Dua unit perangkap kamera telah dipasang di sekitar kawasan Bukit Bauk yang juga merupakan salah satu kawasan tumpuan rekreasi orang awam bagi memantau kehadiran Harimau Malaya di kawasan konflik,

"Dalam masa sama menambah sebanyak 20 unit lagi perangkap kamera di kawasan sekitar sebagai langkah pemantauan jangka panjang, memasang dua (2) unit perangkap harimau di dalam kawasan ladang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Hulu Paka,Terengganu," jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.

(Foto failĀ / BERNAMA)


Tambahnya lagi, serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula 2019 menyebabkan lebih 60 penternak kerugian ratusan ribu ringgit selepas haiwan ternakan mereka mati.

Pada Februari tahun lalu, seekor harimau belang jantan dikenali sebagai 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3 diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu yang lepas bebas di sekitar hutan berhampiran.

Media Baharu