KUALA TERENGGANU, 9 Ogos- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial.
UniSZA dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius akan dakwaan tersebut dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam menjaga mutu program diploma dan ijazah pendidikan tinggi yang dikeluarkan.
"Pihak universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
"UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan," menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
UniSZA berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan serta nama baik universiti dan laporan polis juga telah dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang.
Univerisiti itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah ini.
"UniSZA akan terus komited dalam menjaga nama baik Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia," menurut kenyataan itu.