fb fb fb fb fb

UNDP, Malaysia teruskan kerjasama susulan

Haoliang Xu (kiri) bersalaman dengan Tan Sri Johari Abdul/Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 April- Parlimen Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama susulan merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama tersebut merangkumi pengukuhan institusi legislatif, pembinaan kapasiti dan pembangunan belia hingga 2025.

"Pembaharuan kerjasama tersebut telah dibincangkan oleh Pentadbir Bersekutu UNDP Haoliang Xu yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Parlimen semasa lawatan beliau ke Malaysia hari ini.

"Semasa kunjungan hormat itu, Johari dan Xu terlibat dalam perbincangan yang membuahkan hasil positif dalam pelbagai bidang khususnya mengenai pengukuhan sistem tadbir urus dan pemerkasaan Parlimen serta isu alam sekitar, perubahan iklim, dan kemiskinan," kata kenyataan tersebut.

UNDP merupakan sebuah badan yang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa, serantau dan nasional dalam usahanya untuk mendukung pembangunan Malaysia.

Xu dijadualkan bertemu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong bermula hari ini hingga 18 April.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI