Undang-undang lama perlu disemak, selari realiti dunia teknologi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Kerajaan menyedari keperluan mendesak untuk memperbaharui undang-undang negara agar selari dengan perkembangan teknologi global yang bergerak pantas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

RINGKASAN BERITA AI
  • Undang-undang lama perlu diperbaharui supaya selari dengan perkembangan teknologi global yang pesat.
  • Jurang antara kemajuan teknologi dan perundangan semakin melebar, menuntut tindakan segera kerajaan.
  • Reformasi undang-undang memerlukan sokongan Parlimen dan Ahli Parlimen untuk kelulusan pindaan.

Beliau berkata, banyak undang-undang yang masih diguna pakai hari ini digubal sebelum kemerdekaan pada 1957, termasuk undang-undang sebelum pembentukan Malaysia pada 1963 serta perundangan yang diperkenalkan sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

“Banyak undang-undang sedia ada tidak lagi selari dengan perkembangan dunia teknologi, sekali gus melambatkan tindak balas kerajaan. Keadaan ini boleh menimbulkan kebimbangan pelabur sekiranya undang-undang negara dilihat ketinggalan berbanding perubahan global,” katanya pada sidang media Konvensyen Keadilan Jenayah dan Reformasi Undang-undang di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini.

Menurut Datuk Seri Azalina, jurang antara kemajuan teknologi dan undang-undang semakin melebar, sekali gus meletakkan tanggungjawab besar kepada kerajaan untuk memastikan perundangan kekal relevan dan berdaya tahan.

Jelasnya, proses reformasi perundangan hanya dapat direalisasikan dengan sokongan Parlimen melalui pembentangan dan kelulusan pindaan oleh Ahli Parlimen serta Senator.

“Bagi kabinet meluluskan perkara ini, Ahli Parlimen mesti menyokongnya, kerana saya perlu membawanya ke Parlimen. Pada 2026, ahli politik kita harus sedar bahawa perubahan perlu, bukan dari segi politik, tetapi dalam cara kita menjalankan urusan,” katanya.

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan