Undang-undang antarabangsa perlu diguna pakai sama rata – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI di Putrajaya. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan undang-undang antarabangsa perlu diguna pakai secara konsisten terhadap semua negara bagi memastikan kredibiliti sistem global terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan undang-undang antarabangsa secara terpilih menjejaskan kewibawaan prinsip dan menghakis keyakinan terhadap sistem antarabangsa.
  • Undang-undang antarabangsa mesti diterapkan sama rata tanpa mengira negara atau kepentingan tertentu untuk mengekalkan kredibiliti.
  • Malaysia kekal berprinsip mempertahankan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menyeru penghormatan adil serta konsisten daripada masyarakat global.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang secara terpilih hanya akan menjejaskan kewibawaan prinsip tersebut serta menghakis keyakinan terhadap asas sistem antarabangsa.

‘Keadaan masih sangat membimbangkan apabila negara-negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council), Turki dan Azerbaijan berdepan serangan berulang, dengan keganasan yang turut menjejaskan negara-negara sejauh Jordan, Turki dan Azerbaijan, seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini. Jika undang-undang antarabangsa ingin mengekalkan kredibilitinya, ia mesti diterapkan secara sama rata kepada semua pihak. Prinsip akan kehilangan kewibawaannya apabila ia digunakan secara terpilih. Ketidakkonsistenan ini melemahkan keyakinan terhadap asas-asas utama sistem antarabangsa itu sendiri,’ katanya.

Menurutnya, sekiranya undang-undang antarabangsa mahu mengekalkan kredibiliti, ia mesti terpakai sama rata tanpa mengira negara atau kepentingan tertentu.

Tegasnya, Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang antarabangsa serta menyeru masyarakat global agar menghormati prinsip tersebut secara adil dan konsisten.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.