
KUALA NERUS, 10 Mac – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memainkan peranan sebagai pusat sumber kepakaran penyelidikan dengan memberi manfaat kepada masyarakat melalui usaha pemeliharaan dan pemartabatan mushaf Al-Quran di peringkat nasional.
- Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan dianjurkan hasil kerjasama strategik UMT dengan sebuah badan insurans bagi membiayai percetakan mushaf.
- Program pengesahan dan pertukaran mushaf dilaksanakan bersama Kementerian Dalam Negeri, termasuk pengagihan 5,000 naskhah ke universiti dan 1,600 untuk program tukar.
- Penyelidikan berkaitan Mushaf Diraja Terengganu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan dan dicalonkan mewakili Malaysia bagi Memory of the World UNESCO.
Peranan tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin, hasil kerjasama strategik universiti itu bersama sebuah badan insurans yang menyalurkan sumbangan dana bagi percetakan mushaf berkenaan.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, universiti berkenaan komited memanfaatkan kepakaran penyelidik dalam memastikan warisan ilmu berkaitan Al-Quran terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serta generasi akan datang.
“Usaha ini bertujuan membantu masyarakat yang tidak pasti kesahihan mushaf Al-Quran yang digunakan. Mereka boleh datang ke UMT untuk membuat pengesahan, dan sekiranya mushaf tersebut tidak sah dari segi penulisannya, ia boleh ditukar dengan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.
Inisiatif itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab membuat pengesahan terhadap penulisan dan teks Al-Quran yang digunakan oleh masyarakat.
Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan berangkat merasmikan Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin serta menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf di Kuala Nerus.
Turut mengiringi baginda ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Utama Raja.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 5,000 naskhah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin dicetak untuk diagihkan kepada 20 universiti awam di seluruh negara.
Selain itu, 1,600 naskhah mushaf turut dihibahkan kepada Kementerian Dalam Negeri melalui pelaksanaan program Jom Exchange Quran, bagi menyokong kempen “Ke Arah Sifar Al-Quran Tanpa Perakuan”.
Sebelum ini, penyelidikan UMT berkaitan Mushaf Al-Quran Diraja Terengganu telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan, dan kini dalam proses pencalonan mewakili Malaysia sebagai Warisan Dunia bawah program Memory of the World oleh UNESCO.