PUTRAJAYA, 27 April - UMNO akan terus menyokong inisiatif bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) demi kestabilan politik di negara ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun terdapat 18 parti komponen di bawah payung Kerajaan Perpaduan, namun kesemuanya mempunyai objektif yang sama.
Justeru beliau berharap semua parti komponen terus menjalin keserasian bagi mempertahan kestabilan politik dalam negara, sekali gus mewujudkan sebuah negara yang mampan khususnya dalam aspek politik dan ekonomi.
"PRU ke-16 adalah satu pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahan.
"Pada hemat saya, 152 Ahli Parlimen yang ada sekarang yang memperlihatkan lebih daripada dua pertiga majoriti mesti dipertahan dan kaedah untuk mempertahankannya adalah pelbagai serta mempunyai pendekatan yang juga pelbagai," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Syawal di di sini hari ini ketika diminta mengulas hasrat PKR yang ingin mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada penggal akan datang.
Beliau berkata dalam membangunkan negara, aspek ekonomi mesti dijana dengan baik untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan pulangan pekerjaan itu pula bukan sekadar gaji minimum sebaliknya gaji premium.
"Kita lihat bahawa gaji penjawat awam sedang dalam kerangka untuk diumumkan dan sebagaimana yang kita ketahui, selepas 12 tahun kita akan melihat skema gaji ini akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkat produktiviti dan saya harap dengan ekonomi yang baik, sektor swasta juga akan melakukan perkara sama.
"Begitu juga peluang pekerjaan baharu dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diwujud dengan adanya pelabur asing di negara kita maka punca kepada perkembangan ekonomi adalah kestabilan politik dan ia mesti dipertahan," katanya.
Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 18 parti komponen merangkumi lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu budaya rumah terbuka di negara ini diteruskan.
Beliau berkata, ini kerana penganjuran rumah terbuka itu mampu mewujudkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Ia mesti dijadikan sebagai satu budaya di negara kita. Bukan soal makan, yang penting adalah keberadaan mereka adalah tanda pemimpin menyantuni rakyatnya kerana tetamu saya bukan sahaja dari Putrajaya atau Lembah Klang tetapi daripada seluruh negara," ujarnya.