KUALA PERLIS, 18 Mac - Lebih 40 program akan dilaksanakan sepanjang Ramadan tahun ini oleh UMNO Bahagian Kangar meliputi kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Kangar.
Program dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta penduduk setempat bagi menghiasi setiap hari Ramadan.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, program yang disusun secara teratur ini akan melibatkan pelbagai peringkat usia bagi menyemarakkan Ramadan.
Setiap program meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan dimana memberi peluang kepada semua yang terlibat dapat melipatgandakan amalan ibadah.
Antara program sepanjang Ramadan ini termasuklah Kelas Mengaji Al-Quran, Bubur Kanji, Program Singgah Sahur, Program Santuni Anak Yatim, Program Buy 2 Give, Ziarah Belacare dan pelbagai lagi program kerohanian.
"Kita sentiasa cakna dengan program-program kemasyarakatan yang seperti ini, yang kita teruskan sepanjang Ramadan dan lebih menggembirakan kita, penglibatan banyak pihak berperingkat bukan soal ahli-ahli UMNO, ahli-ahli parti politik sahaja, tetapi bahkan membabitkan orang awam", katanya
kepada media pada Program I-Kanji DUN Kuala Perlis di Masjid Al-Rahmaniah, di sini.
Program menyedia dan memasak bubur kanji ini kali kedua dilaksanakan selepas DUN Indera Kayangan dengan melibatkan penyediaan dua periuk besar bubur kanji secara bergotong royong.
Sebanyak 800 pek bubur kanji berjaya dihasilkan dengan disumbangkan kepada setiap kawasan JPKKP untuk diagihkan kepada penduduk setempat serta mereka yang hadir ke Masjid Al-Rahmaniah.