fb fb fb fb fb

UMK optimis kumpul lebih RM10,000 untuk Tabung Kecemasan Palestin

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razli bersama para pelajar dan kakitangan pada Program Solidariti UMK Untuk Palestin di UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.

BACHOK, 29 Oktober- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) optimis mampu mengumpul sumbangan berjumlah RM20,000 melalui kutipan derma Tabung Kecemasan Palestin yang dilancarkan pusat pengajian tinggi itu minggu lepas.

 Naib Canselornya Prof Datuk Dr Razli Che Razak berkata dalam tempoh seminggu UMK berjaya mengumpulkan derma sebanyak RM10,000 yang sebahagian besarnya disumbangkan melalui kod respon pantas. 

"Tabung kemanusiaan ini akan kita teruskan dalam tempoh seminggu lagi bersempena Majlis Konvokesyen UMK bermula 4 November ini bagi mendapatkan sumbangan yang lebih besar.

"Kita jangkakan kira-kira 10,000 ibu bapa dan graduan yang hadir pada majlis itu akan menambah jumlah derma sedia ada sebelum kita serahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf untuk disampaikan ke Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Solidariti UMK Untuk Palestin di UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.

Program disertai kira-kira 300 pelajar dan lebih 100 kakitangan universiti itu.

Dalam usaha memupuk kesedaran kepada pelajar dan kakitangan tentang perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan bumi Gaza, program sama turut diadakan di dua cawangan UMK lain di Jeli dan Pengkalan Chepa.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI