fb fb fb fb fb

Umat Islam perlu betulkan pemahaman kandungan al-Quran, elak salah tafsir- Sultan Kedah

FOTO KEDAH ROYAL FAMILY

ALOR SETAR, 26 April- Umat Islam diseru supaya membetulkan amalan melalui pemahaman dan kejelasan terhadap isi kandungan al-Quran ketika mentafsirkan ayat-ayat suci dan hukum-hukum-Nya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Ia bagi mengelakkan sebarang salah tafsir yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah bertitah, terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci al-Quran khususnya kepada umat Islam dan seluruh umat manusia. 

Melalui Al-Quran, masyarakat dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ianya menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan pada masa kini.

Baginda bertitah, al-Quran juga memberi panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan, dan lain- lain.

"Al-Quran sebagai sebuah kitab yang amat istimewa serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam, malah kepada semua umat manusia di serata dunia.

"Untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci al-Quran, adalah penting untuk kita fahami akan maksud, makna atau intipati, serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya,"titah baginda sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024 di Kepala Batas, Alor Setar, malam tadi.

Baginda berharap agar kegemilangan negeri Kedah dalam menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada suatu ketika dahulu dapat dikembalikan. 

Baginda juga berharap qari dan qariah yang telah berjaya agar dapat menggandakan lagi usaha sehingga mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan para qari dan qariah daripada Kedah dapat mengungguli dan seterusnya menjuarai pertandingan tersebut.

Dalam titah ucapan sama, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri Kedah dengan menganjurkan program Bulan Solat dan Penghayatan Al-Quran dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah dan Institut Al-Quran Darul Aman bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam mengerjakan solat secara berjamaah dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran.

Pelaksanaan ini diharap dapat menjadi inspirasi ke arah memartabatkan al-Quran di negeri ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE