KUALA LUMPUR, 25 Februari- Dalam menghadapi persaingan dunia yang sengit dan mencabar, umat Islam perlu merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi serta menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa pada masa yang sama, umat Islam perlu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai-nilai kemanusiaan, akhlak, dan ihsan, seperti yang ditekankan dalam gagasan MADANI.
“Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk ‘Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam’, mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmaqdis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.
“Pada masa itu, kota Al-Quds menjadi saksi, tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu MADANI bersama Imam Masjid Al-Aqsa di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ekrima sebagai seorang daripada tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa pada akhir majlis tersebut.
“Saya turut ulangi teguran yang disampaikan semasa berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain baru-baru ini, mengenai permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya.- BERNAMA