fb fb fb fb fb

Umat Islam diseru hormati fatwa dan pandangan mufti

Foto FB LZNK

ALOR SETAR, 24 Januari- Umat Islam diseru menghormati fatwa dan pandangan yang dikeluarkan oleh institusi mufti.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata Jabatan Mufti merupakan institusi yang tertinggi bagi negeri-negeri di Malaysia dengan golongan mufti adalah daripada kalangan ilmuan yang mempunyai pengetahuan mendalam.

"Kalau kita lihat, daripada segi struktur organisasi Jabatan Mufti ini berada di bawah payung KDYMM Sultan di setiap negeri."

"Maka, pelantikannya mesti mendapat perkenan Tuanku Sultan dan mereka menjalankan tugas bagi KDYMM Sultan. Jadi, saya menyeru kepada masyarakat supaya dapat menghormati institusi mufti dan menghormati fatwa-fatwa yang dikeluarkan," kata Datuk Syeikh Fadzil kepada pemberita, hari ini. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berkata demikian selepas menerima replika cek zakat perniagaan berjumlah RM3,797,599.15 daripada 14 syarikat korporat di Menara Zakat, Alor Setar.

Tahun lalu, sebanyak RM277 juta kutipan oleh LZNK dan tahun disasarkan RM300 juta.

Kira-kira 60% kutipan keseluruhan zakat di Kedah daripada zakat pendapatan dan peningkatan dijangka pada tahun ini dengan kenaikan gaji penjawat awam.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta pengguna media sosial untuk tidak memanjangkan isu berkaitan permohonan maaf beliau kepada selebriti terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM