fb fb fb fb fb

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Isnin

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Mac-Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada esok, iaitu Isnin (31 Mac 2025).

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Isnin, 31 Mac 2025," katanya," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Terdahulu, aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

Lokasi cerapan termasuklah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.

Lokasi melihat anak bulan di Terengganu adalah di Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian serta Balai Cerap KUSZA manakala di Kelantan di Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan.

Di Sarawak, lokasi cerapan di Pusat Falak Miri dan Bintulu serta Teluk Bandung di Sarawak.

Lokasi lain termasuk Menara 188 Kuantan, Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong dan Gunung Berincang di Pahang; Balai Cerap Al-Biruni serta Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah, dan Menara Kuala Lumpur, selain Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD