KUALA LUMPUR, 10 Mac- Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat islam di Malaysia mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac dalam satu siaran langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pada 3 Mac lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.
Proses melihat anak bulan Ramadan melibatkan 29 lokasi di seluruh negara antaranya Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada petang tadi.