KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Sambutan Hari Kesihatan Seksual Sedunia (World Sexual Health Day) disambut setiap tahun dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif dalam kalangan masyarakat.
Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 1 juta jangkitan penyakit kelamin dikesan setiap hari di seluruh dunia, menjadikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan seksual semakin kritikal.
Sehubungan itu, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif UM 2024 yang berlangsung pada 19 September lalu.
Program melibatkan kerjasama antara Klinik Universiti Malaya, pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains UM, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, dan Pusat Pembangunan Lestari UM.
Lebih daripada 500 pelajar menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program, termasuk ceramah kesihatan, pameran interaktif, sesi konsultasi peribadi, dan pemeriksaan kesihatan.
Menurut Pengarah Klinik Universiti Malaya, Dr. Zuraidah Mohamed, kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seksual seperti HIV/AIDS serta jangkitan kelamin lain.
"Peningkatan kesedaran dan akses kepada maklumat ini boleh membantu mencapai Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 3.3, yang bertujuan menamatkan wabak HIV dan mengawal penyakit berjangkit lain seperti Hepatitis dan malaria.
"Program kesedaran ini menyediakan maklumat penting tentang pelbagaiaspek kesihatan seksual dan reproduktif, seperti perancangan keluarga, pendidikan seks, serta pencegahan penyakit kelamin," katanya.
Jelasnya, ia selari dengan SDG 3.7, yang menyeru akses universal kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif.
“Dengan adanya program seperti ini, lebih ramai individu akan berupaya membuat keputusan yang lebih baik berkaitan dengan kesihatan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Affan Nasaruddin teruja dengan sambutan yang diberi oleh para pelajar.
“Ada di antara mereka mengakui yang program ini telah membuka mata mereka. Ada di antaranya yang baru menyedari tentang hak mereka dalam perkara-perkara berkaitan penjagaan kesihatan reproduktif.
"Paling utama, mereka sedar yang pengetahuan ini bukan hanya terhad tentang kesihatan fizikal, tetapi juga tanggungjawab terhadap diri sendiri dan mereka yang berada di sekeliling mereka,” katanya.
Pemangku Pendaftar UM, Professor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman dalam ucapan perasmian pula berkata program tersebut menjadi komponen penting dalam usaha membentuk masyarakat kampus yang lebih sihat, seimbang, dan berpengetahuan, yang seterusnya menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan global.
“Saya yakin bahawa program ini memberikan pendidikan dan kesedaran yang luas kepada warga kampus serta komuniti setempat. Malah, ia memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan, serta selari dengan hala tuju Universiti Malaya dalam mencapai SDG 3,” ujarnya.