KUALA LUMPUR, 9 Mei-Nombor pendaftaran istimewa bakal dilancar bersempena ulang tahun ke-78 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengumuman itu dijangka dibuat pada majlis sambutan di Akademi JPJ Melaka pada Sabtu ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli pengumuman nombor pendaftaran istimewa itu bakal dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Selain itu, beberapa lagi pengisian menarik disusun sepanjang majlis sambutan berkenaan.
Ini termasuk program pertukaran 2,000 topi keledar.
"Kita juga ada beberapa aktiviti seperti Jualan RAHMAH MADANI, pameran kerjaya, karnival kerjaya, pameran kenderaan EV dan juga kenderaan klasik.
"Dan juga pengumuman Menteri Pengangkutan berkaitan inisiatif terbaharu JPJ," katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.