NIBONG TEBAL, 22 Jun- Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bakal mula dianjur di peringkat sekolah mulai tahun depan kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Usaha itu bagi merakyatkan DBP, selain memperkasa bahasa kebangsaan di peringkat sekolah.
Selain itu beberapa buku hasil karya sasterawan negara, akan dijadikan sumber pembacaan murid dan pelajar.
"Peranan DBP ini telah merentas zaman selama 68 tahun dan telah memberikan impak yang cukup besar dalam konteks untuk memartabatkan Mahasa Melayu dan perjuangan Bahasa Melayu.
"...kita mendoakan kekuatan itu terus diberikan kepada DBP sesuai dengan slogan Kesaktian Lidah Rakyat ini bukan sahaja mengangkat tema ataupun dalam konteks memartabatkan Bahasa Melayu semata-mata.
"Tetapi ia juga harus dirungkai dalam erti kata Bahasa Melayu ini adalah milik semua rakyat Malaysia dan kesantunan penggunaannya harus dipertingkatkan dan penguasaannya juga harus lebih melata kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-68 DBP di SMK Seri Nibong di sini.
Dalam pada itu, kesantunan berbahasa dalam perbualan seharian rakyat negara perlu dipertingkatkan bagi memelihara dan menghormati keindahan bahasa Melayu.
Menurut Fadhlina, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak hanya dalam konteks memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan malah meliputi adab dan tatasusila dengan penuturan kata-kata yang baik termasuk pengunaannya di media sosial.
"(Kesantunan) dalam konteks perbualan harian kita ialah saling menghormati melalui penggunaan bahasa yang sesuai dan baik seperti kata orang utara, 'cakap baik-baik sikit'.
"Inilah perlambangan kita sebagai orang yang mempunyai sopan santun dan budi bahasa yang tinggi," katanya lagi.
Fadhlina turut memberi jaminan dan keyakinan bahawa bahasa Melayu akan terus dipertahankan, malah komitmen penuh akan diberikan terhadap usaha DBP dalam menyebarluaskan dan mendaulatkan kesusasteraan Melayu bukan saja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.