Ujian diagnostik kemasukan murid Tahun Satu ditiadakan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari– Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik bagi kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bagi mengelakkan kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan serta mengalami kerugian pembelajaran sehingga setahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan bimbang ujian diagnostik boleh bersifat diskriminatif dan menjejaskan psikologi kanak-kanak.
  • KPM mencadangkan pemantauan berterusan oleh guru dan ibu bapa menggantikan ujian diagnostik.
  • Pelaksanaan prasekolah dan ujian Darjah Empat disokong untuk penilaian awal dan penambahbaikan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun penilaian awal penting bagi menentukan tahap kesiapsiagaan kanak-kanak, kerajaan mengambil kira kebimbangan bahawa ujian diagnostik boleh bersifat diskriminatif dan memberi kesan psikologi kepada murid.

“Jangan bimbang dengan istilah ‘ujian diagnostik’. Rasionalnya adalah untuk ada sedikit sistem penilaian bagi menentukan sama ada anak-anak benar-benar bersedia atau memerlukan tempoh tambahan.”

“Cadangan awal itu baik kerana menyediakan penilaian sebelum murid memasuki sekolah, tetapi ia boleh menjadi diskriminatif dan menjejaskan psikologi kanak-kanak, contohnya jika dianggap tidak layak atau kurang cerdik. Justeru, kerajaan memutuskan untuk meniadakan ujian diagnostik,” kata Datuk Seri Anwar di Parlimen, hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Parlimen.

Tambahnya, cadangan awal ujian diagnostik bertujuan mewujudkan satu sistem penilaian sebelum murid memasuki alam persekolahan formal.

Namun dikhuatiri membawa kepada pelabelan negatif seperti dianggap ‘kurang cerdik’, khususnya terhadap murid yang tidak mengikuti prasekolah.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan agar ujian berkenaan ditiadakan, dengan pendekatan pemantauan berterusan dilaksanakan melalui peranan bersama guru dan ibu bapa dalam menilai perkembangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyokong pelaksanaan prasekolah sebagai medium penilaian awal, selain cadangan pelaksanaan ujian penilaian di Darjah Empat bagi membolehkan langkah penambahbaikan dibuat sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu.

“Begitu juga dengan ujian Darjah Empat, ia berfungsi sebagai sistem penilaian kecil yang memberi kita dua tahun untuk membuat penambahbaikan sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu.”

“Dalam pendidikan, apa sahaja cadangan biasanya mengundang kontroversi, sama ada di Darjah Tiga, Empat atau Enam. Jadi, kita putuskan laksanakan di Darjah Empat sahaja, lihat keberkesanannya, kerana pendidikan perlu bersifat dinamik,” ujarnya.

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan