
SHAH ALAM, 3 Februari – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah apabila satelit nano keduanya, UiTMSAT-2 berjaya dilepaskan ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 6.52 petang waktu Malaysia hari ini.
- UiTMSAT-2, satelit CubeSat 1U seberat 1.1 kg, dilepaskan ke orbit dari modul Japanese Experiment Module menggunakan J-SSOD.
- Satelit membawa misi utama kamera pemerhatian bumi dan misi sekunder IoT angkasa untuk penghantaran data kawasan terpencil.
- UiTMSAT-2 akan beroperasi di orbit rendah bumi pada ketinggian 380–400 km, mengelilingi bumi kira-kira 16 kali sehari.
- Projek diterajui UiTM dengan kerjasama Thailand, Filipina dan Jepun, dibiayai MOSTI melalui beberapa dana kerjasama antarabangsa.
Ketua Projek UiTMSAT-2, Dr. Fatimah Zaharah Ali berkata, satelit jenis CubeSat 1U seberat 1.1 kilogram itu dilepaskan melalui modul Japanese Experiment Module menggunakan mekanisme JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD).
“Satelit ini membawa misi utama kamera pemerhatian bumi serta misi sekunder Internet Benda (IoT) berasaskan angkasa bagi membolehkan penghantaran data daripada kawasan terpencil yang tidak mempunyai rangkaian komunikasi darat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tontonan Secara Langsung Pelepasan UiTMSAT-2 yang dipancarkan dari Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun, JAXA di sini, hari ini.
UiTMSAT-2 sebelum ini dilancarkan ke ISS pada 26 Oktober 2025 menerusi misi HTV-X1 menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun.
Satelit tersebut akan beroperasi di orbit rendah bumi pada ketinggian antara 380 hingga 400 kilometer dan mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.
Projek UiTMSAT-2 diterajui oleh UiTM dengan dengan kerjasama institusi dari Thailand, Filipina dan Jepun, serta dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Dana International Collaboration Fund (ICF), Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) serta sumbangan kewangan rakan kolaborasi antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan UiTM, malah menunjukkan kesiapsiagaan Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap teknologi masa hadapan.
“Yang menarik, satelit ini direka sendiri oleh pasukan UiTM dan turut menjadi platform latihan kepada rakan ASEAN. Alhamdulillah, kerjasama ini membolehkan pelancaran dilaksanakan dengan jayanya.” katanya.
Pelepasan UiTMSAT-2 membuktikan keupayaan universiti tempatan dalam menerajui teknologi angkasa serta menyumbang kepada pembangunan sains dan inovasi negara.