fb fb fb fb fb

UiTM tawar program APEL kepada pelajar tiada SPM

Dr Suriyani Ariffin

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Individu yang tiada kelayakan akademik atau sijil SPM, namun mempunyai pengalaman bekerja boleh melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Di Universiti Teknologi MARA (UiTM) misalnya. universiti awam itu ada menawarkan Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL). 

Menurut Pengarah Pembangunan Akademik, Pejabat Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Madya Dr Suriyani Ariffin, selain pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi, pelajar tidak menduduki SPM juga berpeluang untuk menyambung pelajaran di universiti berdasarkan tempoh pengalaman bekerja mereka.

Program tersebut ditawarkan dengan kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Menurut beliau, antara jurusan ditawarkan di bawah program APEL adalah Kecerdasan Buatan (AI), Sains Komputer dan Pengurusan Hotel.

"UiTM masih mengalu-alukan kedatangan mereka menerusi program APEL di mana kemasukan berdasarkan pada pengalaman bekerja.

"Jadi, adik-adik di sana yang 10,000 itu (tidak menduduki peperiksaan SPM 2023) ingin bekerja, teruskan bekerja. Dengan pengalaman (kerja) yang akan ditimba, dengan pengalaman yang akan ada, UiTM beri peluang yang terbuka luas kepada adik-adik untuk menyambung pelajaran ke universiti," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.

APEL adalah satu proses yang digunakan untuk tujuan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu seseorang individu.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

SITI AISHAH MD ISA