fb fb fb fb fb

UiTM Perlis jalin kerjasama bersama pihak industri, universiti antarabangsa

Majlis Menandatangani MoU Antara UiTM Cawangan Perlis bersama FRS Business Jaya Sdn Bhd, Teknologi KBSE Sdn Bhd dan Universiti Bengkulu, Indonesia di UiTM Cawangan Perlis

ARAU, 5 April- Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis menjalinkan kerjasama bersama FRS Business Jaya Sdn Bhd, Teknologi KBSE Sdn Bhd dan Universiti Bengkulu, Indonesia.

Pemeteraian perjanjian kerjasama ini adalah langkah yang sangat signifikan dalam menjalinkan hubungan yang erat antara institusi pengajian tinggi bersama pihak industri.

Selain itu, menunjukkan kesungguhan UiTM Cawangan Perlis untuk bekerjasama dalam menghasilkan bakat staf dan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing, yang akan memberi manfaat kepada UiTM, industri dan negara.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi, kerjasama bersama FRS Business Jaya Sdn Bhd akan membuka peluang baru kepada pelajar terutamanya pelajar dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi untuk mendapatkan pengalaman praktikal yang bernilai dalam industri terutamanya dalam penyelidikan mengenai keberkesanan produk hiliran dalam membantu kelestarian tanah.

Manakala kerjasama dengan Teknologi KBSE Sdn Bhd diharap dapat membuka peluang baru bagi pelajar dan pensyarah, Kolej Alam Bina UiTM untuk mendapatkan pengalaman praktikal yang bernilai, terutamanya dalam pembangunan sistem ekadaster menggunakan sistem sumber terbuka yang digunakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menguruskan pangkalan data kadaster negara.

Seterusnya, melalui kerjasama dengan Universiti Bengkulu, Indonesia, diharapkan dapat berkongsi ilmu dan menyediakan khidmat penyeliaan bagi projek pelajar tahun akhir dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang menjalankan penyelidikan berkaitan dengan Azolla, sejenis tanaman air yang mudah di biak dan memiliki potensi yang besar sebagai baja organik.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Perlis bersama FRS Business Jaya Sdn Bhd, Teknologi KBSE Sdn Bhd dan Universiti Bengkulu, Indonesia di UiTM Cawangan Perlis.

Menerusi kerjasama ini juga, dapat memupuk hubungan yang lebih erat dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek seperti projek penyelidikan, program mobiliti pelajar dan pensyarah, persidangan, bengkel dan penempatan pelajar praktikum pada masa hadapan.

ROSLINA BINTI DIN