fb fb fb fb fb

UiTM perkukuh kerjasama dengan KKB, perkasa pendidikan bumiputera

Majlis Penyerahan Insentif dan Peluncuran Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM di Shah Alam

SHAH ALAM, 10 Februari- Sebanyak 11 Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) masih aktif menawarkan 15 program akademik di seluruh negara dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program-program akademik seterusnya memperkasa pendidikan tinggi bumiputera.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin berkata program usahasama UiTM yang dilaksanakan melalui KKB itu memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada golongan bumiputera, terutamanya daripada kelompok B40.

"Ia membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan berdaya saing dalam pelbagai bidang. Program ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM dalam menjayakan Program Usahasama UiTM yang diperkenalkan sejak tahun 1992," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif dan Peluncuran Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM di sini hari ini.

Selain itu, turut dilancarkan Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu UiTM, yang mengandungi kisah-kisah kejayaan pelajar serta impak positif program usahasama itu dalam membantu graduan mendapatkan pekerjaan sepadan dengan bidang pengajian masing-masing.

Antara Kolej-Kolej Bersekutu terlibat dalam majlis berkenaan ialah Institut Sains & Teknologi Darul Takzim (INSTEDT), Melaka International College of Science & Technology (MiCost), East West International College, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Kolej UNITI, Kolej Antarabangsa Unifield, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kolej Yayasan Pahang, Kolej Widad, Kolej SATT, dan Kolej FELCRA.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI