SHAH ALAM, 16 November – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini melancarkan cincin eksklusif Signet LEGASI sebagai simbol warisan institusi pendidikan yang kukuh sejak 1956.
Signet LEGASI direka untuk memperingati legasi dan pencapaian UiTM sebagai institusi pendidikan bumiputera terkemuka, dihasilkan dalam edisi terhad sebanyak 100 unit sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100.
"Pemakaian cincin ini melambangkan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berwibawa dan berfungsi sebagai simbol pengiktirafan kepada para alumni yang menyumbang kepada pembangunan negara," menurut institusi itu menerusi kenyataan.
Majlis pelancaran dirasmikan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, di sini.
Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Shahrin dalam ucapan perasmiannya berkata UiTM komited dalam memastikan setiap graduan bukan sahaja meninggalkan universiti itu dengan ilmu, malah dengan jati diri dan rasa bangga sebagai sebahagian daripada warisan yang diterjemahkan melalui cincin tersebut.
Reka bentuk cincin itu, hasil kreativiti tenaga pengajar Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, menggabungkan logo UiTM dan elemen motif Bunga Tanjung dengan sentuhan kontemporari.
Majlis pelancarannya mendapat sambutan hangat daripada warga universiti dan alumni yang melihat Signet LEGASI sebagai manifestasi identiti dan penghormatan kepada sejarah gemilang UiTM.