fb fb fb fb fb

THE Impact Rankings 2024, UiTM kekal kedudukan 101-200

Foto UiTM

SHAH ALAM, 13 Jun- Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengekalkan prestasi untuk tahun keempat berturut-turut dalam menegakkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata UiTM memperoleh markah keseluruhan sebanyak 85.6 bagi penarafan tahun ini.

Menerusi 'Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024' itu, ia sekali gus mengekalkan kedudukannya pada tangga 101 hingga 200 seluruh dunia.

Ia turut meletakkan UiTM pada kedudukan 50 universiti terbaik di seluruh dunia untuk SDG ini.

"UiTM merupakan salah satu daripada 1,963 universiti yang disenaraikan untuk penarafan tersebut, dengan peningkatan sebanyak 372 universiti berbanding tahun sebelumnya.

"Daripada lapan SDG yang disertai untuk tahun ini, Kesamaan Jantina (SDG5) menjadi SDG skor terbaik UiTM apabila ia mencapai kedudukan 46 di seluruh dunia.

"Ini diikuti oleh SDG 1 "Tiada Kemiskinan" dan SDG17 "Perkongsian Matlamat", di mana UiTM berada dalam kedudukan 200 teratas di seluruh dunia.

"UiTM juga disenaraikan di antara 300 teratas untuk tiga SDG, iaitu SDG4 "Pendidikan Berkualiti", SDG7 "Tenaga Hijau dan Mampu Milik", dan SDG16 "Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh"," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Shahrin, UiTM kekal komited ke arah kecemerlangan melalui penyelidikan dan pendidikan berimpak kekal, kukuh serta kemampanan.

Ia juga terus menjadi tumpuan utama UiTM dalam pelan strategik UiTM2030 pada masa akan datang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM