UiTM bakal lancar pelan transformasi berimpak tinggi UiTM 2030

UiTM

SHAH ALAM, 28 Januari – Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal melancarkan Perancangan Transformasi Berimpak Tinggi dikenali ‘UiTM 2030’ bagi terus memacu peranannya sebagai peneraju pembangunan bumiputera profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • UiTM akan lancarkan pelan transformasi 'UiTM 2030' sebagai kesinambungan UiTM 2025 untuk memacu impak tinggi dan pembangunan bumiputera profesional.
  • Penekanan kepada tadbir urus berintegriti termasuk penubuhan Unit Obdusman dan pewartaan kaedah bagi semak imbang.
  • Fokus pada kelestarian peranan UiTM dengan sokongan peruntukan meningkat serta sasaran 15–20% graduan berkemahiran keusahawanan.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata UiTM 2030 merupakan kesinambungan UiTM 2025 yang menggariskan 15 objektif kualiti, empat fokus strategik utama dan sepuluh teras impak.

“UiTM dalam proses transisi. Dari pelan strategik kita UiTM 2025 hingga UiTM 2030 yang bakal kita lancarkan pada bulan hadapan.

“Antara 10 perkara yang saya terangkan tadi adalah keperluan tatakelola, tadbir urus berintegriti dan tahun ini UiTM akan menubuhkan Unit Obdusman dan dalam peruntukan UiTM Akta 173 berbeza dengan AUKU, kita tidak ada statue tetapi UiTM akan guna ruang yang ada untuk mewartakan kaedah. Ini bagi tujuan pengawalan dan semak imbang antara elemen penting,” jelasnya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Amanat Naib Canselor 2026 di Dewan Latehan RIDA.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin/Foto RTM

Bagi meraikan 70 tahun penubuhan UiTM tahun ini, turut dianjurkan ‘Forum Evolusi 7 Dekad’ sebagai manifestasi kesungguhan UiTM membina masa depan yang berimpak tinggi dan kekal relevan dalam landskap pendidikan global.

Tambah beliau, kelangsungan peranan UiTM akan turut mengambil kira Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Selain itu, UiTM turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar selaku Menteri Kewangan serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir atas sokongan diberikan kepada UiTM terutamanya pertambahan peruntukan pengurusan tahun ini.

“UiTM tahun ini menerima peruntukan untuk bajet pengurusan sebanyak 12.7 peratus dengan nilai RM256 juta secara keseluruhan, peningkatan yang telah membawa kepada bajet sedia ada seperti yang saya umum tadi bajet melebihi RM2.1 bilion,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Shahrin memaklumkan UiTM menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 15 hingga 20 peratus graduan berkemahiran keusahawanan.

“Setiap graduan dan warga UiTM perlu berjiwa usahawan agar mereka lebih aktif, proaktif dan agresif supaya menjadi benih apabila dicampak menjadi pulau dan melakukan perubahan,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan