KUALA LUMPUR, 23 November- Program keusahawanan 'For Future Entrepreneurs' dilaksana Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama sebuah syarikat pemakanan global, semalam.
Dekan Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi UiTM, Prof Madya Dr. Raja Mohammad Firhad Raja Azidin berkata ia dapat melahirkan lebih ramai pelajar UiTM untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.
Jelas Raja Mohammad Firhad, program itu juga dapat memupuk pemikiran usahawan, selain melengkapkan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran untuk memulakan perniagaan.
"Ilmu keusahawanan itu juga dapat membantu pelajar membuat keputusan yang sangat kritikal.
"Ia juga cara terbaik untuk memasarkan kemahiran, pengalaman atau perkhidmatan kepada orang ramai," katanya,
Lebih 40 orang pelajar menyertai bengkel tersebut yang diadakan di Dewan Kuliah 1, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam.