UIAM mampu lakukan kajian Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Februari – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil kesal dengan kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai kajian cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Fahmi Fadzil mempertahankan keupayaan UIAM menjalankan kajian cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
  • Beliau mengkritik kenyataan Datuk Seri Takiyuddin yang dianggap merendah‑rendahkan institusi pendidikan.
  • Tiada usul atau hasil kajian dibentangkan kepada Jemaah Menteri setakat ini, jadi keputusan belum dibuat.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, UIAM sememangnya berkeupayaan melakukan kajian tersebut dan tindakan pihak berkenaan dilihat seakan cuba merendah-rendahkan institusi berkenaan.

“Pada pandangan saya, kenyataan itu mencerminkan sikap yang tidak wajar ditunjukkan oleh seorang ahli politik. Datuk Seri Takiyuddin sepatutnya melihat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai sebuah institusi pendidikan yang berkeupayaan menjalankan penyelidikan. Oleh itu, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kenyataan itu juga amat tidak bertanggungjawab kerana seolah-olah merendahkan sebuah institusi yang sangat penting, yang telah melahirkan bukan sahaja pemimpin dalam negara, malah pemimpin di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Terdahulu, terdapat pihak yang mempertikaikan pemilihan universiti itu selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Datuk Fahmi menjelaskan, setakat ini tiada sebarang usul yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri berhubung cadangan itu.

“Tiada sebarang perbincangan dibuat, tetapi ia dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bahawa satu kajian sedang dijalankan pihak UIAM dan setakat ini belum ada sebarang hasil untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Belum ada hasil, jadi tidak boleh dibuat apa-apa keputusan. Diperingkat Jemaah Menteri pun tidak dibentangkan apa-apa jadi dia terlalu awal untuk kita bincang perkara ini,” katanya.