GEORGETOWN, 9 April- Perpaduan dan kesatuan semua rakyat Pulau Pinang perlu terus diperkukuh khususnya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata keharmonian rakyat telah tergugat oleh tindakan segelintir anasir tertentu.
"Mereka ini telah menyemai benih ketakutan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Musim perayaan ini adalah masa yang paling sesuai untuk meningkatkan hubungan silaturahim sesama kita," kata Tun Ahmad Fuzi ketika Perutusan Khas sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024.
Justeru, sebarang tindakan di luar batasan undang- undang yang menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum perlu dielakkan serta perbezaan antara kaum tidak diperlu dijadikan sebagai halangan untuk bersatu padu.
Sementara itu, kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus memartabatkan syiar dan pembangunan umat Islam.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan berusaha untuk tujuan tersebut di samping pembangunan lain tanpa sebarang kompromi dan diskriminasi.
Menurutnya, kerajaan negeri turut akan menyahut hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencapai status sifar kemiskinan tegar untuk memastikan setiap rakyat mampu menikmati limpahan rezeki di negeri ini.
"Perayaan Aidilfitri ini perlu digunakan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim tanpa mengira bangsa, agama dan budaya," jelas Chow dalam perutusannya.