fb fb fb fb fb

TVET semakin meluas, dapat kepercayaan industri

DURIAN TUNGGAL, 26 Januari- Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) menjadikan bidang kemahiran bukan lagi pilihan terakhir kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pasaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia semakin meluas dan lepasan TVET dari Universiti dalam negara juga mendapat kepercayaan daripada pihak industri di negara ini.


(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)

Sehubungan itu, beliau berkata, program seperti Duta TVET UTeM yang dilaksana Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memasyarakatkan universiti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran serta pemindahan teknologi dengan melaksakan projek-projek teknikal berimpak kepada komuniti di Melaka.

Katanya, antara projek-projek berkenaan termasuklah sistem Akuaponiks Pintar dengan Internet Kebendaaan (IoT) di Tanjung Bidara, UTeM Digital Niaga di Ayer Molek dan Penyelenggaraan Komputer dan Rangkaian Keselamatan Siber dan Inovasi di Pantai Kundor.

"Jadi saya percaya melalui program seperti ini masyarakat dan komuniti akan lebih dekat lagi dengan TVET seterusnya membina satu persepsi yang positif terhadap pembangunan TVET di Malaysia dan diharap program-program, sebegini dapat dilaksanakan sekerap atau sebanyak yang mungkin, jadi hari ini ada tiga DUN yang terlibat iaitu DUN Tanjung Bidara, DUN Pantai Kundor dan juga DUN Bukit Katil kerana ada masyakarat di situ antara bidang-bidang TVET seperti STEM, digitalisasi usahawan sosial juga kursus kepada golongan OKU, " katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancarkan Duta TVET UTeM 2023 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin.

Dalam pada itu, Prof Dr Massila berkata, program sama akan diperluas ke kawasan luar Melaka dan dipanggil TVET Unity.

Katanya, ia masih dalam perancangan dan antara kawasan dikenal pasti termasuk Kota Tinggi dan Iskandar Puteri, Johor dan Lahad Datu, Sabah.

Media Baharu