fb fb fb fb fb

TVET JELITA sasar 150,000 pelajar wanita kuasai pelbagai kemahiran

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyasarkan pengambilan seramai 150,000 pelajar wanita untuk mendaftar di bawah Program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) menjelang tahun 2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata program itu merupakan peluang terbaik untuk kaum wanita menceburkan diri dalam pelbagai kemahiran bagi meningkatkan ekonomi golongan wanita negara ini.

"Program ini merangkumi bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, teknologi agro sehingga kepada reka bentuk fesyen, seni kreatif, industri halal dan pelbagai lagi.

"Setiap kursus direka sejajar dengan trend industri semasa dan ramalan pasaran kerja masa hadapan.

"Malah program ini juga menawarkan pakej penyediaan pengajian eksklusif hasil kerjasama dengan rakan industri yang sedia menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan mengikut keperluan pasaran.

"Program JELITA ini tidak hanya berhenti pada penyampaian latihan tetapi juga bertujuan untuk menyediakan sokongan selepas latihan," katanya.

Tambah beliau, usaha ini diperkenalkan kerana wanita seringkali berhadapan dengan cabaran ekonomi dan sosial yang unik antaranya diskriminasi jantina, perbezaan gaji dan kesukaran untuk memasuki bidang pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.

(Majlis Pelancaran JELITA di Pusat Perdagangan Dunia (WTC)/FOTO Zahid Hamidi)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran JELITA di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

JELITA menawarkan 10 bidang kemahiran dan pensijilan lebih tinggi dan luas, selain menjalinkan kerjasama dengan 74 rakan strategik bagi memastikan program dan pensijilan ditawarkan selaras keperluan industri.

Antara rakan strategik bagi program JELITA adalah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kedua-dua institusi itu akan berperanan sebagai penyedia latihan dan fasilitator untuk menyediakan tenaga mahir berkualiti khusus untuk wanita.

Pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, mahu jurang jantina dalam pasaran buruh harus dirapatkan.

Ini bagi meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita untuk mencecah 60 peratus supaya lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Anwar berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka.


ARTIKEL BERKAITAN:
Ekonomi Madani sasar jadikan Malaysia 30 ekonomi terbesar dunia
PM mahu buruh wanita cecah 60 peratus setanding ekonomi serantau

Media Baharu