
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat sekolah rendah dan menengah dilihat mampu membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berkemahiran serta berdaya saing.
- Pelaksanaan TVET mesti dirancang rapi untuk melahirkan pelajar berkemahiran, celik teknologi dan menyumbang kepada pembangunan negara.
- Perancangan awal penting supaya guru tidak terbeban dengan tugas tambahan yang menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
- Di peringkat rendah fokus kepada pendedahan asas eksplorasi; peringkat menengah memberi penekanan kemahiran digital dan teknologi.
Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hassan, berkata pelaksanaan TVET yang dirancang dan dilaksanakan secara teratur berpotensi melahirkan generasi murid berkemahiran tinggi, celik teknologi serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar perancangan rapi perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan guru tidak terbeban dengan tugas tambahan yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
“Kita tidak mahu pelaksanaan TVET ini menjadi satu beban baharu kepada guru. Perkara ini perlu diberi perhatian supaya guru-guru tidak terbeban apabila pembelajaran TVET dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, tahap kesesuaian murid juga perlu diambil kira, khususnya di peringkat sekolah rendah.
“Di peringkat rendah, TVET seharusnya dilaksanakan sebagai pendedahan asas secara eksplorasi bagi menarik minat murid terhadap bidang TVET.
Manakala di peringkat menengah, ia merupakan satu usaha yang baik kerana memberi penekanan kepada kemahiran digital dan teknologi,” tambahnya ketika dihubungi RTM.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan TVET kepada pelajar sekolah rendah dan menengah melalui Kurikulum Persekolahan bermula pada tahun 2027.
Inisiatif tersebut membolehkan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga diberikan pendedahan awal dan peluang untuk memilih jurusan mengikut minat serta kecenderungan mereka.