fb fb fb fb fb

Tunku Mahkota Ismail gesa pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah

Foto: FB HRH Crown Prince of Johor

JOHOR BAHRU, 19 Mac - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa agar mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang menyalah guna kalimah Allah baru-baru ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah baginda memandang serius isu berkenaan dan berharap agar perkara terbabit tidak mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam. (Justeru), isu ini tidak boleh dipandang remeh,” menurut hantaran di laman Facebook Pemangku Sultan Johor hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang tular, baru-baru ini.

Beliau berkata kesemua mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam minggu ini dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI