SHAH ALAM, 13 November - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif.
Baginda menerimanya pada Istiadat Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM, di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai Canselor UiTM yang ke tujuh.
Tengku Ampuan Pahang dianugerahkan dan diikhtiraf sebagai ikon dalam bidang seni, khususnya dalam usaha
mempertahankan serta mempromosikan warisan seni budaya Melayu di persada antarabangsa.
"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada adinda Tengku Ampuan Pahang di atas pengurniaan ijazah kehormat doktor seni kreatif.
"Pengurniaan ini adalah sangat bertetapan dengan sumbangan adinda terhadap seni kreatif negara. Adinda telah berjaya membawa seni kreatif negara sehingga ke peringkat antarabangsa," titah Sultan Ibrahim.
Ijazah kehormat berkenaan merupakan penghormatan tinggi kepada Tunku Azizah atas dedikasi, inovasi, dan komitmen baginda dalam mengangkat seni warisan budaya, terutamanya dalam bidang seni tekstil dan kraf tradisional.
Seramai 25,957 graduan bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pada Istiadat Konvokesyen ke-100 UiTM.