fb fb fb fb fb

Tunku Azizah berangkat hadiri Sambutan Hari Orang Asli Sedunia

Tunku Azizah berkenan mencemar duli memasak juadah tradisi masyarakat Orang Asli pada Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2024 Peringkat Pahang di Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang di sini, hari ini.

PEKAN, 11 Ogos- Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2024 Peringkat Pahang di Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang di sini, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Sapiah Mohd Nor sebelum dipersembahkan tarian sewang oleh masyarakat Orang Asli Pekan.

Tunku Azizah juga berkenan mencemar duli memasak juadah tradisi masyarakat Orang Asli iaitu ikan asam rebus, ayam randau rebus dan daging salai masak air. 

Baginda ketika bertitah turut mengimbau kisah bersama Almarhum Paduka Ayahandanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang telah membawanya ke perkampungan Orang Asli di Johor, sejak kecil.

“Ketika kecil Almarhum ayahanda bawa saya ke perkampungan mereka di Johor, jadi daripada kecil sampai saya kahwin tak kekok nak bergaul dengan ‘orang kita’ (Orang Asli).

"Saya juga banyak mempelajari masakan ‘orang kita’, yang mana saya merasakan masakan mereka paling sihat kerana tak banyak guna minyak dan hanya rebus atau bakar," titah baginda.

Pada program itu, baginda turut berkenan menyaksikan pertandingan futsal dan melawat reruai menjual pelbagai kraftangan selain mengurniakan bakul makanan kepada ketua isi rumah Kampung Permatang Keledang, di sini.

Di Pahang, seramai 95,382 Orang Asli direkodkan, iaitu jumlah terbesar di Semenanjung Malaysia, yang terbahagi kepada tiga suku kaum utama iaitu Senoi, Melayu Proto serta Negrito.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI