fb fb fb fb fb

Tun M dimasukkan ke IJN kerana jangkitan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Februari - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed telah dimasukkan ke Instititut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan jangkitan yang dihidapinya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakap beliau hari ini, bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 98 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 26 Jan lepas.

“Tun (Dr Mahathir) sedang menerima rawatan untuk jangkitan di IJN, disusuli dengan tempoh berehat untuk pemulihan yang optimum,” kata jurucakap itu menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Terdahulu hari ini, pendengaran kes saman Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dakwaan kenyataan fitnah mengenai isu “kutty” yang ditetapkan pada hari ini ditangguh kepada 19 Julai depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu selepas dipohon oleh peguam Dr Mahathir Mior Nor Haidir Suhaimi yang menyatakan anak guam beliau kini sedang dirawat di IJN.

IJN juga menghantar satu surat kepada mahkamah menyatakan bekas perdana menteri itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini atas sebab kesihatan.- BERNAMA

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM