fb fb fb fb fb

Tun Dr Wan Junaidi lawat galeri RASCOM imbau memori bersama PDRM

Tun Dr Wan Junaidi di usia mudanya ketika mula-mula menyertai PDRM

SIBU, 30 Ogos- Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, mengadakan lawatan rasmi ke Galeri Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) di Kem RASCOM, Sibu hari ini.

Lawatan tersebut bukan sahaja menandakan penghormatan kepada usaha pemeliharaan sejarah ketenteraan di Sarawak, tetapi juga memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Sarawak dan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sebelum memulakan lawatan tersebut, beliau telah diberikan taklimat oleh Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun.

Lawatan berkenaan turut memberikan penghormatan kepada Tun Dr. Wan Junaidi yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menentang ancaman komunis semasa era perjuangan RASCOM.

Galeri RASCOM yang ditubuhkan pada tahun 2012, adalah hasil ilham Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Briged yang Ke-18.

Galeri tersebut mempamerkan artifak penting yang merangkumi sejarah penubuhan dan pengoperasian RASCOM dan dibahagikan kepada enam bahagian utama termasuk pelan utama RASCOM, penubuhan, aktiviti, operasi ketenteraan, sejarah unit dan pembangunan kawasan keselamatan.

Tun Dr. Wan Junaidi menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1964.

Beliau kemudiannya berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, di mana beliau terlibat secara aktif dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di kawasan Miri, Sibu dan Kapit.

Dalam tempoh itu, beliau juga pernah bertugas di RASCOM dan mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, melalui Direktif No. 4 Majlis Keselamatan Negara.

Ia bertujuan mengawal kegiatan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang semakin meningkat di kawasan tengah Sarawak. Kawasan tanggungjawab RASCOM meliputi 58,544 kilometer persegi, termasuk daerah Sarikei, Mukah, Sibu, dan Kapit.

Antara yang turut hadir ke lawatan tersebut adalah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi bin Md Lepi dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis.

3008 TYT RASCOMTun Dr Wan Junaidi dan isteri bergambar kenangan ketika melawat RASCOM di Sibu

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE