fb fb fb fb fb

Tumpahan minyak: Syarikat kapal setuju bayar pampasan, kerajaan Johor tidak saman

Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan/FB Ah Soon

JOHOR BAHRU, 30 Jun - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, mengenal pasti sebuah lagi pulau iaitu Pulau Che Kamat di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi terkesan akibat berlaku tumpahan minyak daripada pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura, pada 14 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerajaan Johor juga tidak bercadang untuk menyaman syarikat kapal dari Belanda berkenaan.

"Ini kerana syarikat asing terbabit akan membayar jumlah kerugian kepada semua nelayan yang terjejas dengan pencemaran tersebut termasuk kos kerja-kerja pembersihan.

"Kerja-kerja pembersihan minyak di Pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia, Pengerang telah 100 peratus siap dan tinggal sebahagian sahaja di kawasan batu dan pokok bakau.

"Jadi pihak JAS akan melakukan pemantauan terhadap proses pembersihan tersebut terutama di kawasan bakau dan permukaan berbatu," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan Kempen Saringan Diabetes di Recency Specialist Hospital, Southkey di sini pada Ahad.

Tambahnya, sebanyak 43 tan sisa minyak berjaya dikumpulkan melibatkan dua fasa bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

21 Jun lalu media melaporkan, hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang terpaksa menanggung kerugian akibat tidak dapat turun ke laut kesan tumpahan minyak di kawasan itu.

Ia disebabkan berlaku pelanggaran kapal pada 14 Jun yang menyebabkan pencemaran di sepanjang satu kilometer garis pantai dengan anggaran 400 tan tumpahan minyak.

GRACE AISYAH KEDAYAN