fb fb fb fb fb

Tulisan Jawi perlu dipraktik, dikekalkan - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

PHANG NGA, 28 April- Semua pihak perlu berusaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung dalam menjalinkan rasa kebersamaaan khususnya di Selatan Thailand dan Wilayah Andaman.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam masa sama, usaha perlu digerakkan bagi memastikan tulisan Jawi dapat terus dipraktikkan dan dikekalkan buat generasi masa hadapan.

Dalam mencapai hasrat itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada Wilayah Andaman dan Selatan Thailand demi membantu meningkatkan lagi penguasaan, perluasan penggunaan Jawi serta Bahasa Melayu.

"Saya melihat kolaborasi penganjuran program seumpama itu amatlah baik dan harus diperhebatkan lagi agar kita dapat mewujudkan semangat cintakan ilmu, sifat kebersamaan, serta kebertanggungjawaban dalam segala bentuk program yang mendatangkan manfaat kepada ummah,” titah baginda selepas berkenan menyempurnakan Program Pembelajaran Jawi Wilayah Andaman Tahun 2024 di Hotel Le Erawan di sini.

Pelbagai kerjasama dapat disumbangkan oleh DBP pada masa hadapan bagi membantu meningkatkan pembelajaran dan penguasaan Bahasa Melayu bersama-sama tulisan Jawi di Wilayah Andaman serta Selatan Thailand.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM