POKOK SENA, 27 Mac- Sebanyak tujuh buah rumah di Pokok Sena, Kedah mengalami kerosakan selepas dilanda ribut beserta hujan lebat, petang semalam.
Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata kesemua rumah terbabit terletak di Mukim Bukit Lada, Mukim Jabi, Mukim Tualang dan Mukim Lesong.
Kebanyakan rumah mengalami kerosakan teruk khususnya pada bahagian bumbung.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha untuk membaiki kerosakan tersebut seberapa segera supaya penduduk terlibat dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa dan sempurna.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan semoga penduduk yang terlibat tabah menghadapi dugaan.
Mohamad Rizal berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat ribut di Pokok Sena.