CYBERJAYA, 23 Oktober- Tujuh empangan di Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Johor diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dalam laporan tentang perubahan iklim yang menjejaskan bekalan air awam.
Ia termasuk empangan Pedu, Muda, Asahan, Jus, Durian Tunggal, Linggui dan empangan Mengkuang.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, ketujuh-tujuh empangan itu dikenal pasti menerusi Laporan Penilaian Risiko Bekalan Air Empangan dan Paras Air Empangan SPAN.
"Kenapa ia sangat penting? Kalau kita lihat kes Empangan Muda, kapasitinya telah jatuh 7 peratus, begitu juga dengan lain-lain sungai di Malaysia. Kapasiti sungai jatuh diakibatkan oleh perubahan iklim,"katanya.
Kerajaan negeri ketika ini menyedari isu itu dan sedang dalam usaha menanganinya.
Beliau juga akan bertemu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad minggu depan untuk membincangkan pengkhususan laporan itu.
Setakat ini, 55 daripada 104 empangan di Malaysia digunakan untuk membekalkan air kepada orang awam.