fb fb fb fb fb

Tuduhan Sanusi wujud permainan 'Little Napoleon', tidak benar - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 1 Disember - Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa tuduhan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya wujud permainan 'Little Napoleon' yang cuba mengeruhkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja ke Sadao, 27 November lalu; adalah tidak benar sama sekali.

Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana Muhammad Sanusi pada asalnya hanya dijemput menghadiri satu segmen daripada keseluruhan lawatan berkenaan.

"Saya dapat sedikit penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri dan sedikit maklumat yang disampaikan, yang menunjukkan bahawa surat jemputan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi sebenarnya hanyalah untuk satu segmen daripada keseluruhan lawatan tersebut.

"Ia bukannya daripada awal sampai akhir. Tetapi Perdana Menteri, itu adalah daripada segi protokolnya itu adalah daripada segi keperluan dan segmen yang diperlukan, tetapi Perdana Menteri minta dilibatkan samada makan tengah hari, perbincangan semuanya dilibatkan," kata Fahmi kepada media selepas membuat pendaftaran Digital ID, di sini.

TETITIA YUSOFF