
PUTRAJAYA, 6 Mac– Sebarang dakwaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disokong dengan fakta dan laporan yang jelas sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
- Anwar gesa semua pihak meneliti laporan rasmi sebelum mengemukakan tuduhan bagi elak persepsi dipengaruhi sentimen politik.
- Kerajaan telah membentuk jawatankuasa khas dan Perdana Menteri menzahirkan keyakinan terhadap peranan Peguam Negara serta proses undang undang.
- Laporan Jawatankuasa Khas mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM belum diterima oleh Perdana Menteri tetapi dijangka diterima hari ini.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kritikan atau tuduhan tanpa merujuk laporan rasmi hanya akan menimbulkan persepsi yang dipengaruhi sentimen politik.
Menurut beliau, mana-mana pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) wajar meneliti laporan terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan.
“Jika ingin membuat tuduhan, telitilah laporan terlebih dahulu dan berikan jawapan berdasarkan fakta. Jangan sekadar membuat sergahan tanpa merujuk kepada laporan.”
“Saya tidak mempertahankan sesiapa, namun jawatankuasa sudah dibentuk dan saya percaya kepada Peguam Negara,” kata Datuk Seri Anwar mengulas dakwaan bahawa SPRM kini dijadikan senjata politik oleh kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam, di sini.
Tambah beliau, kerajaan menghormati pandangan mana-mana pihak termasuk Bersih, namun penilaian wajar perlu dibuat selepas laporan berkaitan diterima dan diteliti.
Perdana Menteri turut memaklumkan sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi meneliti perkara berkenaan dan beliau percaya kepada proses undang-undang termasuk peranan Peguam Negara dalam membuat penilaian.
Datuk Seri Anwar turut mengingatkan bahawa usaha membanteras rasuah perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan negara sebelum ini turut berdepan kes penyelewengan melibatkan jumlah yang besar.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengesahkan masih belum menerima laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan laporan daripada jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dijangka diterima, hari ini.