fb fb fb fb fb

Tribunal Antibuli: Maklum balas awam dikumpul menerusi jerayawara

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 September – Jerayawara akan dilaksanakan di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan penubuhan Tribunal Antibuli.

Jerayawara berkenaan dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu bagi menghimpunkan pandangan awam serta pihak berkepentingan untuk menambah baik proses, undang-undang dan mekanisme pelaksanaannya.

"YB Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) telah menyatakan bahawa beliau akan melaksanakan sebuah roadshow ataupun jerayawara.

"Sesi pertemuan akan bermula di Kuala Lumpur dan seterusnya menjelajah ke setiap negeri untuk mendengar maklum balas daripada orang ramai," jelasnya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, di sini.

Menurutnya, maklumat terperinci berhubung penganjuran jerawayara itu akan dimaklumkan kemudian.

Pada Mesyuarat Kabinet, Datuk Seri Azalina turut memaklumkan mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli, yang disertai pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, bagi membincangkan usaha termasuk ke arah penubuhan Tribunal Antibuli.

Antara yang disentuh termasuk cadangan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), agar tribunal dihadkan kepada kes melibatkan individu berusia bawah 18 tahun.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN