PUTRAJAYA, 14 Ogos- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengguna pakai kaedah pajakan sebagai strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu akan dilaksana melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan, antara Malaysia dan China.
"Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak kerajaan China dalam tempoh terdekat."
Setakat ini, hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway And Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan PRC," kata Anthony kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.
Menerusi strategi baharu itu juga, kaedah perolehan secara pajakan dapat dilaksana dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa.
Anthony Loke optimis kualiti pengangkutan awam dapat dipertingkat dengan fasa 1 bermula 2024 hingga 2027, dengan menyasarkan tambahan 62 set tren penumpang baharu.
Penambahan itu melibatkan anggaran kos sehingga RM10.7 bilion yang akan ditampung secara ansuran selama 30 tahun tempoh pajakan.
Pajakan tertakluk kepada kerajaan Malaysia akan memiliki pegangan saham majoriti di dalam CRRC Rolling Stock Center Batu Gajah atau entiti yang dipersetujui antara kedua-dua kerajaan.
Selain itu, syarikat pembekal perlu memenuhi syarat sekurang-kurangnya 40 peratus keperluan tempatan melibatkan pemindahan teknologi dan tenaga tempatan.