fb fb fb fb fb

Treler hempap kereta, tiada korban jiwa

Foto polis

SIK, 15 Januari - Tiga sahabat nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan.

Kemalangan yang berlaku di Kampung Charuk Pasir, Sik, di sini malam tadi itu turut menyebabkan pemandu kereta yang dihempap terpaksa menahan kesakitan selama hampir empat jam selepas tersepit di dalam kenderaan.
 
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitenden Abdul Razak Osman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, sebuah kereta lagi dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 5 ke Parit Panjang.
 
"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berasal dari Kampung Charok Padang, Sik secara tiba-tiba telah memasuki laluan bertentangan.

"Sebuah lori treler membawa kepingan kayu nipis dan palet yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta berkenaan.

"Lori treler yang terbabas ke kanan jalan kemudian merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga sahabat yang berhenti di tepi jalan tersebut," kata Abdul Razak dalam satu satu kenyataan.
 
Kejadian menyebabkan kereta dinaiki mangsa remuk teruk akibat terperosok di bawah lori treler.
 
Mangsa, Mohammad Farhan Fahmi Mohd Faizal, 22 tahun yang cedera dibahagian kaki akibat tersepit dibahagian tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dengan menggunakan alat khas kira-kira pukul 2.30 pagi.
 
Sementara dua rakannya berjaya keluar dari kenderaan dan hanya mengalami cedera ringan.
 
Mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
 
Manakala pemandu kereta dari arah Batu 5 ke Parit Panjang turut cedera di tangan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
 
Pemandu lori berusia 59 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

TETITIA YUSOFF