KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Rawatan dan sokongan psikososial amat penting bagi membantu memulihkan trauma yang dihadapi dalam kalangan kanak-kanak.
Pakar Perunding Pediatrik UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Nadiah Azlisham berkata, tindakan intervensi awal itu berupaya mewujudkan ruang dan persekitaran selamat untuk golongan tersebut berkongsi perasaan mereka.
Jelas beliau, trauma yang tidak dirawat bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah mengakibatkan kanak-kanak gagal menguruskan emosi dengan baik.
Sekali gus, menyumbang kepada pembentukan sikap negatif dan agresif dalam diri mereka.
"Daripada kecil di buli, bila besar jadi pembuli. Kenapa? Sebab bila ada trauma, tak ada tindakan awal. Tidak ada rawatan diberi jadi ini beri kesan jangka panjang kepada kesihatan mental yang akan memberi impak yang besar kepada perkembangan sosial kanak-kanak bila dia besar nanti.
"Ibu bapa di rumah mesti peka, sebarang perubahan tingkah laku anak mesti kena peka dan perlu bertanya. Jangan biarkan anak keseorangan, memendam dengan lebih dalam, lebih memahami daripada menghakimi," katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.
Dr Nadiah berpandangan, selain ibu bapa, masyarakat juga boleh memainkan peranan melindungi dan memberi sokongan emosi berterusan kepada kanak-kanak yang menghadapi trauma.
Jelasnya, peranan tersebut amat signifikan bagi memastikan kanak-kanak dan generasi akan datang dapat membesar dalam persekitaran yang lebih positif, selamat dan sihat; tanpa kitaran buli dan trauma.