Transformasi Puncak ALOP Ampang: Tingkat keselamatan, rancakkan ekonomi setempat

Foto BERNAMA

AMPANG, 31 Mac– Pembukaan semula Puncak Ampang Look Out Point (Puncak ALOP) dijangka memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan Selangor, sekali gus merancakkan lagi ekonomi setempat di kawasan Hulu Langat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan keselamatan dan keselesaan pengunjung hasil kerja penyelenggaraan dan pembangunan menyeluruh.
  • Transformasi moden dan tersusun mampu mengangkat Puncak ALOP sebagai pusat tumpuan strategik pelancong dan komuniti.
  • Pembangunan membuka ruang perniagaan teratur, meningkatkan peluang pendapatan peniaga kecil tempatan.
  • Sinergi kerajaan dan sektor swasta memastikan kelestarian pelancongan mampan serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis perasmian yang berlangsung pada Isnin (30 Mac) menandakan bermulanya fasa baharu destinasi ikonik tersebut setelah melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan menyeluruh bagi meningkatkan aspek keselamatan serta keselesaan pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata transformasi Puncak ALOP yang lebih moden dan tersusun mampu mengangkat potensinya sebagai pusat tumpuan strategik buat pelancong serta komuniti setempat.

Tambahnya, pembangunan semula lokasi tersebut turut membuka peluang luas kepada peniaga kecil tempatan untuk menjana pendapatan menerusi penyediaan ruang perniagaan yang lebih teratur.

“Sektor perkhidmatan, pelancongan, pembuatan dan pelbagai bidang lain akan terus diberikan ruang serta masa. Walaupun wujud krisis, kita melihatnya sebagai peluang. Selangor sangat bernasib baik kerana negeri ini kekal menjadi tumpuan utama, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” kata Datuk Seri Amirudin pada majlis perasmiannya, malam tadi (30 Mac).

Projek pembangunan semula berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta agensi pelancongan swasta.

Sinergi antara kerajaan dan sektor swasta dilihat sebagai kunci utama dalam memastikan kelestarian sektor pelancongan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Walaupun pernah terkesan akibat pandemik, Selangor terbukti berjaya bangkit lebih awal dan kini terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu ekonomi negara.

Langkah itu juga selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, dengan sasaran kehadiran pelancong mencecah sembilan juta orang tahun ini.