PUTRAJAYA, 29 Februari - Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) perlu dijadikan sebagai satu dasar baharu yang progresif, bertujuan merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, tiga matlamat utama digariskan iaitu Keadilan sosioekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau berkata, enam tekad dan tiga ikhtiar digariskan sebagai tunjang bagi mencapai matlamat TEB bagi memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasa.
"Dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera ini bukan sekadar satu usaha untuk memperkasa ekonomi, ia adalah langkah inklusif yang membawa impak positif kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
"Setiap langkah yang diambil untuk memperkasa ekonomi bumiputera adalah sejajar dengan usaha ke arah pembangunan dan mewujudkan landasan untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Tambah Ahmad Zahid, TEB perlu dijadikan sebagai satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi bumiputera dan menarik pelaburan antarabangsa.
Katanya, inisiatif itu bagi membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.
"Kita mesti berani mencipta kekuatan dalam menjalin hubungan luar melalui promosi dan diplomasi perdagangan serta kerjasama antarabangsa.Langkah ini mampu membuka pintu peluang yang lebih luas dan membina jambatan kesejahteraan bersama di peringkat global.
"Janganlah kita hanya berlegar di arena domestik tetapi gapailah pasaran sejagat yang mempunyai potensi nilai pasaran melebihi AS$5 trilion menjelang tahun 2030," katanya.