fb fb fb fb fb

Transformasi digital perlu pendekatan baharu- PM

Pelancaran Malaysia Digital Expo 2023, di MITEC, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 6 November- Transformasi digital memerlukan pendekatan baharu dan perlu keluar dari kerangka pemikiran lama kepada suatu yang sangat mendesak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu belajar dari pengalaman negara maju bagi meneroka transformasi digital yang lebih mencabar.

"Transformasi digital ini seolah-olah menggapai langit, cuba bukan saja meneroka yang baru tetapi menggapai yang betul-betul baru, yang mencabar, yang belum selesa dan biasa dalam kalangan rakyat.

"Tetapi cabarannya juga ialah untuk mengakar di bumi. Sebab itu kita bicara tentang penglibatan ramai, yang lebih inklusif supaya dalam menggapai langit itu, kita tidak meninggalkan rakyat di bawah terutama kawasan pedalaman dan miskin bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Malaysia Digital Expo 2023, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Sementara itu, beberapa transformasi digital sedang dilaksanakan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman membayangkan tidak mustahil teknologi kecerdasan buatan (AI) akan digunakan sebagai penyampai berita satu hari nanti.

"Tidak mustahil, jadi penyampai berita perlu bekerja lebih keras untuk menjadi bukan saja penyampai berita, tetapi seorang yang pandai menemubual secara langsung. Jadi maksudnya AI menyampaikan berita, tetapi penyampai berita bukan saja penyampai berita, dia boleh bertanya secara live dan ilmunya lebih tinggi.

"Jadi AI membantu untuk kerja-kerja repetitif, tetapi kerja-kerja yang memerlukan fikiran yang lebih tajam, yang lebih tinggi, yang itu manusia buat", katanya ketika ditemui pada ruang pameran Malaysia Digital Expo 2023, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

ROSLINA BINTI DIN