KUALA LUMPUR, 5 November – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah merangka beberapa inisiatif bagi menarik minat belia tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dalam sektor agrikomoditi.
Langkah tersebut melibatkan penggunaan teknologi moden seperti internet pelbagai benda (IoT), mekanisasi dan automasi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata kerajaan turut menggalakkan penggiat industri untuk mengadaptasi penggunaan jentera berteknologi tinggi.
"Contohnya, kerja menyembur racun dan membaja tanaman kini boleh dilakukan dengan dron, jentera AGV (autonomous guided vehicles), serta mesin cantas sawit.
"Mekanisasi itu mampu mempercepat proses kerja, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Tambah Foong Hin, KPK turut menawarkan pelbagai program kemahiran seperti Kursus Operasi Mekanisasi Ladang di PLASMA, Keratong Pahang, Sijil Teknologi Getah di Akademi Hevea Malaysia, Sungai Buloh, Selangor, dan Sijil Operasi Pembuatan Perabot di WISDEC, Banting, Selangor.